top of page
PRIME-SABAH25-436.jpg

Majlis Peluncuran PRIME Negeri Sabah

Tarikh: 7hb Ogos 2025

Tempat: NADI Sungai Imam, Tawau, Sabah

Bahasa: Melayu

​​

Dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)​​

​

Tetamu Kehormat: Yang Berhormat Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi

12:15 PM

Pengumuman Pra-Majlis

Selamat tengah hari dan salam sejahtera, tuan-tuan dan puan-puan.


Majlis akan bermula sebentar lagi. Hadirin dipersilakan mengambil tempat duduk dan dimohon untuk kurangkan pergerakan ketika majlis berlangsung. Sila tetapkan telefon bimbit anda ke mod senyap bagi mengelakkan sebarang gangguan sepanjang majlis.

 

Terima kasih atas kerjasama anda semua.

12:30 PM

Pengenalan Acara

Hari ini kita berkumpul di Hari Bersama Komuniti NADI Kampung Sungai Imam, sebuah program mesra rakyat bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di NADI. Program ini menampilkan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti saringan kesihatan, jualan usahawan NADI serta aktiviti Perkhidmatan Pintar, di samping memperkenalkan peranan dan fungsi NADI dengan lebih dekat kepada komuniti. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi Yang Berhormat Datuk Fahmi Fadzil yang akan menyempurnakan penyerahan PRIME daripada ibu pejabat MCMC kepada Pejabat MCMC Wilayah Sabah, selain penyampaian Surat Lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu serta Penyampaian Sumbangan Program Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) Pelajar Cemerlang STPM dan SPM daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICUJPM).

​

Untuk makluman, PRIME ialah sistem komunikasi radio dan internet bersepadu bergerak yang menggabungkan teknologi satelit, selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan dron, bagi memastikan ketersambungan komunikasi yang pantas dan boleh dipercayai khususnya ketika berdepan dengan kecemasan atau bencana di kawasan dengan liputan terhad. Setelah berjaya dilancarkan di Semenanjung, kini inisiatif ini diperluaskan ke Sabah sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan komunikasi ketika bencana di negeri ini. Selain itu, hadirin juga dapat menikmati lawatan reruai, jamuan rakyat dan pelbagai pengisian menarik dalam suasana penuh semangat kebersamaan dan perpaduan.

12:40 PM

Ketibaan VVIP

Lawatan ke NADI

Hadirin yang dihormati. Bersama-sama kita raikan ketibaan YANG BERHORMAT DATUK FAHMI FADZIL, MENTERI KOMUNIKASI, diiringi dif-dif kehormat. Sila berikan tepukan yang gemuruh.

 

Dijemput Yang Berhormat Menteri bersama dif-dif kehormat membuat lawatan ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional NADI Kampung Sungai Imam.

12:52 PM

Acara Dimulakan

Lagu Kebangsaan

Bacaan Ikrar

Bacaan Doa

Majlis kini mempersilakan Yang Berhormat Menteri bersama dif-dif kehormat untuk sertai majlis di kawasan utama acara.

​​

*VVIP tiba di kawasan utama acara*

​

Hadirin yang dihormati. Dimohon berdiri untuk sama-sama menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.

 

*Lagu Negaraku*

*Lagu Sabah Tanah Airku*

​

Hadirin dimohon kekal berdiri untuk melafaz ikrar Rukun Negara. Dengan ini, majlis mempersilakan petugas-petugas daripada Pusat NADI untuk memimpin lafaz ikrar. Dipersilakan.

 

*Bacaan ikrar*

​

Hadirin dipersilakan duduk.

 

Bagi memberkati acara kita pada hari ini, majlis dengan penuh takzim mempersilakan Ustaz Nazri bin Ginda, Imam Masjid Kampung Sungai Imam, untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan.

 

*Bacaan doa*

​

Terima kasih, ustaz.

1:00 PM

Salutasi

GUNUNG KINABALU MEGAH BERDIRI,
MENJADI KEBANGGAAN SINI DAN SANA,
PRIME DILANCARKAN TEKNOLOGI TERKINI,
MENJAMIN KOMUNIKASI KETIKA BENCANA.

 

Selamat tengah hari, salam sejahtera, salam Malaysia MADANI, salam Sabah Maju Jaya.

 

YANG BERHORMAT DATUK FAHMI FADZIL

MENTERI KOMUNIKASI

 

YANG BERBAHAGIA DATO' SERI MOHAMAD FAUZI BIN MD ISA

KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KOMUNIKASI

 

YANG BERHORMAT DATUK ANDI MUHAMMAD SURYADY BIN HAJI BANDY

AHLI PARLIMEN KALABAKAN MERANGKAP ADUN TANJUNG BATU

 

 

YANG BERUSAHA TUAN ABDUL KARIM FAKIR BIN ALI

PENGARAH URUSAN SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA (MCMC)

 

YANG BERBAHAGIA DATUK HAJI RUJI BIN HAJI UBI

PENAUNG PERSATUAN PEDULI DAN PRIHATIN RAKYAT SABAH (PERASA)

 

Rakan-rakan media, serta hadirin yang dihormati.

Saya, Jason Jonathan Omar, selaku pengacara majlis, dengan penuh sukacita mengalu-alukan kehadiran para tetamu ke Hari Bersama Komuniti dan Majlis Peluncuran PRIME Peringkat Negeri Sabah.

 

Hadirin yang dihormati,


Majlis pada hari ini memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keterangkuman digital negara bagi memastikan semua rakyat tidak ketinggalan. Ketersambungan komunikasi yang pantas dan boleh dipercayai dapat dipastikan khususnya ketika berdepan kecemasan atau bencana di kawasan dengan liputan terhad.

1:02 PM

Ucapan Alu-Aluan

Bagi meneruskan acara, majlis dengan segala hormatnya menjemput YANG BERBAHAGIA DATUK HAJI RUJI BIN HAJI UBI, PENAUNG PERASA, untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Dipersilakan.

 

*Ucapan Alu-Aluan*

 

Terima kasih, Yang Berbahagia Datuk atas ucapan sebentar tadi.

1:10 PM

Ucapan Peluncuran

Seterusnya, bagi menyempurnakan acara yang penuh bermakna ini, dengan penuh takzim dan hormat, majlis mempersilakan YANG BERHORMAT DATUK FAHMI FADZIL, MENTERI KOMUNIKASI, untuk menyampaikan ucapan. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berhormat Menteri.

 

*Ucapan Perasmian*

 

Terima kasih, Yang Berhormat Datuk. Yang Berhormat Datuk dipersilakan untuk ke Sudut Peluncuran yang berada di sebelah kiri pentas bagi memulakan upacara selanjutnya.

1:20 PM

Gimik Peluncuran

Majlis juga menjemput dif-dif kehormat:

YANG BERBAHAGIA DATUK SERI MOHAMAD FAUZI BIN MD ISA

YANG BERHORMAT DATUK ANDI MUHAMMAD SURYADY

YANG BERUSAHA TUAN ABDUL KARIM

DAN YANG BERBAHAGIA DATUK HAJI RUJI

untuk sertai Yang Berhormat Menteri di atas Sudut Peluncuran.

​

*VVIP bersedia*

​

Dijemput Yang Berhormat Datuk untuk menolak tuil kawalan dron bagi menerbangkan dron sebagai simbolik peluncuran PRIME Peringkat Negeri Sabah.

 

Dengan kiraan Tiga… Dua… satu…

Hadirin sekalian, sila beri perhatian kepada dron yang akan berlegar di luar khemah utama.

 

*Dron terbang*

*Bunyi Siren & Lampu Pentas*

*Pengumuman Dron 1*

*Montaj*

 

Majlis kini mempersilakan Yang Berhormat Datuk dan dif-dif kehormat untuk kembali ke pentas utama. Majlis juga menjemput TUAN HAJI CHE JUHAN, KETUA PEGAWAI TEKNIKAL DAN PEMANTAUAN MCMC bersama PUAN RATNAWATY TALIB, PENGARAH KANAN PEJABAT MCMC WILAYAH SABAH untuk naik ke pentas bagi menyempurnakan upacara penyerahan ini.

 

Majlis mempersilakan TUAN HAJI CHE JUHAN untuk menyerahkan replika kunci PRIME kepada PUAN RATNAWATY TALIB disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri dan dif-dif kehormat sebagai simbolik penyerahan asset jentera PRIME ini.

 

*Pengumuman Dron 2*

 

PRIME di Sabah sudah bah!

1:30 PM

Penyampaian Surat Lantikan

Terima kasih Tuan Haji Che Juhan dan Puan Ratnawaty.

 

Majlis diteruskan dengan acara penyampaian Surat Lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI.
 

Dengan ini, majlis mempersilakan Encik Albani bin Najwai, selaku wakil kepada Encik Rizan bin Absoreh untuk menerima Surat Lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI Parlimen Kalabakan.

 

*Penyampaian Surat Lantikan*

 

 

Majlis kini menjemput Encik Al Aziz bin Tamrin untuk menerima Surat Lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI Parlimen Lahad Datu.

 

*Penyampaian Surat Lantikan*

 

Seterusnya, majlis menjemput Encik Lexy Petrus, untuk menerima Surat Lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI Parlimen Tawau.

 

*Penyampaian Surat Lantikan*

 

Terima kasih sekali lagi dan tahniah diucapkan kepada barisan Pengerusi Panel Penasihat NADI.

1:35 PM

Penyampaian Sumbangan dan Hadiah

Majlis diteruskan dengan acara penyampaian Sumbangan Program Didik Kasih Peranti MADANI, atau juga dikenali sebagai PERMAI, kepada pelajar cemerlang STPM dan SPM daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

 

Sumbangan ini diberikan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar berdaftar dalam Sistem eKasih yang mencapai keputusan cemerlang dalam STPM dan SPM dari daerah Tawau.

 

Tahniah diucapkan sekali lagi kepada para penerima sumbangan PERMAI pelajar cemerlang STPM dan SPM. Majlis mengucapkan terima kasih dan mempersilakan Yang Berhormat Menteri dan dif-dif kehormat untuk turun dari pentas bagi sesi bergambar.

1:40 PM

Sesi Tinjauan Sidang Media

Seterusnya, majlis kini mempersilakan Yang Berhormat Menteri bersama dif-dif kehormat untuk ke pameran PRIME bagi sesi tinjauan dan pemeriksaan. Para hadirin dijemput ke khemah usahawan NADI dan reruai jualan Rahmah MADANI KPDN di seberang jalan.

1:55 PM

Susulan

Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berhormat Menteri dan dif-dif kehormat membuat lawatan ke khemah usahawan NADI dan reruai jualan Rahmah MADANI KPDN. Dengan ini, berakhirlah acara rasmi Hari Bersama Komuniti dan Majlis Peluncuran PRIME Peringkat Negeri Sabah. Semoga PRIME membawa manfaat dalam memastikan ketersambungan komunikasi yang pantas di saat-saat genting. Jika berlakunya kekurangan, kesilapan atau keterlanjuan daripada pihak kami, kami ingin memohon maaf. Saya Emcee Jason, jumpa lagi di acara akan datang. Terima kasih.

 

Hadirin yang dihormati. Yang Berhormat Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, kini beredar meninggalkan majlis. Sila berikan tepukan yang gemuruh sekali lagi.

Disclaimer:

The sample scripts presented are for reference purposes only. Actual event delivery may vary and is not guaranteed to follow the script verbatim. Emcee Jason may adapt, adjust, or improvise content in real time based on programme flow, client requirements, audience response, technical considerations, or unforeseen circumstances. Such flexibility is exercised at the emcee’s professional discretion to ensure the smooth execution and overall success of the event.

bottom of page